Thursday, December 6, 2012

Apabila rindu itu hadir...

Saat terdengarkan lagu 'kekasih yang dirindui' by Nazrey Johani,
hati ini tiba-tiba digamit rasa rindu kepada mereka yang bergelar sahabat. Sahabat dalam erti kata yang sebenarnya. Siapa ada sahabat? Semua ada kannn... Sahabat satu sekolah, sahabat satu kampus, sahabat masa degree... Bila ingat balik sahabat-sahabat lama kita dulu, sahabat masa sekolah mungkin; terdetik rasa rindu dalam hati kita pada mereka yang sekarang ini jauh di mata.

Dulu...merekalah teman kita mengulangkaji hingga lewat petang dan adakalanya disambung hingga larut malam menerusi talian telefon. Dulu...merekalah teman kita membeli makanan di kantin dan teman kita ketika makan di waktu rehat. Dulu...merekalah teman kita melepak di kelas selepas tamat waktu persekolahan. Dulu...merekalah yang menghulurkan tangan, memberi kata-kata semangat ketika kita jatuh dalam perjalanan mengejar impian dan cita-cita.

Dulu... Mereka adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa mereka, kita rasa dunia sepi, merindu setiap hari. Mengalahkan rindu kepada kekasih! Bertambah indah apabila kasih sayang yang terbina dengan sahabat itu disandarkan pada cinta Allah. Sama-sama mengejar redha Dia dalam hidup. Subhanallah...

Namun semuanya telah berlalu. Sehabis zaman persekolahan, kita terpisah jauh dari mereka. Masing-masing membawa haluan sendiri, mengejar cita-cita dan berjumpa pula kawan-kawan baru dalam dunia yang baru. Dalam kejauhan ini, terbit satu rasa dalam hati ini. Merindu tanpa kata. Walaupun kini aku bertemu dengan ramai kawan baru, tidak ada yang dapat disamakan dengan mereka. Hakikatnya aku tetap merindui mereka. Terutamanya mereka yang menjadi tunjang sokongan terkuat diri ini. Sungguh aku rindukan mereka. Biarpun kini jauh di mata dan berada dalam dunia masing-masing, semoga ikatan yang terjalin tetap kukuh tersimpul inshaAllah.

Sahabat... Walau raga kita terpisah jauh, namun hati kita selalu dekat... Moga segalanya dipermudahkan dalam hidupmu... Terima kasih kerana sentiasa menghulurkan tangan di saat aku memerlukan.. Terima kasih untuk segala - galanya.. Sesungguhnya kalian adalah anugerah Allah yang teristimewa bagiku...

Persahabatan ibarat satu janji yang dibuat dalam hati..
Tidak dapat ditulis, Tidak dapat dibaca,
Namun takkan terpisah dek jarak..takkan berubah dek masa..
Sekali kita bersahabat, selamanya tetap sahabat inshaAllah =)


0 comments:

Post a Comment