Assalamu'alaikum..lama benar tidak menjengah ke sini. Walaupun kadangkala terasa ingin mencoret sesuatu di sini, kekangan masa membataskan segalanya. Alhamdulillah..Ramadan bertandang lagi. Tapi Ramadan kali ini sangat berbeza dengan Ramadan tahun-tahun sebelum ni. Kenapa? Hati ini dipamit suatu perasaan yang tak mampu aku ungkapkan. Adakalanya, bila aku sendirian terasa sayu menggigit tangkai hati. Sungguh, hamba Allah ini semakin mengenali dirinya yang selama ini terasa jauh daripada Sang Pencipta.
Aku akui, untuk aku berada dalam keadaan aku sekarang bukan sekali dua aku diuji, aku sendiri lupa sudah berapa kali aku jatuh, berapa banyak air mata aku tumpah dan aku sendiri tak tahu berapa kali aku cuba untuk bangun berdiri dengan sendiri dan terus berubah. Entah berapa kali aku tersungkur dalam istiqomah aku mencari Yang Hakiki.
Sesungguhnya aturan Allah, adalah sebaik-baik aturan kerana Allah tidak akan bagi apa yang kita inginkan, tetapi Dia bagi apa yang kita perlukan. Jujur dari hati aku, aku terlalu bersyukur dengan apa yang telah aku lalui walaupun setiap dugaan itu pedihnya tidak terperi. Namun pengalaman itu telah mengajar tentang banyak pekara. Air mata yang tumpah selama ni sebenarnya merupakan satu nikmat yang tidak aku sedari. Semua yang telah aku lalui merupakan satu tarbiah daripada Allah. Segalanya membukakan mata aku yang selama ini kabur,membuatkan aku sedar betapa jahilnya diri ini,meruntuhkan tembok keegoan yang selama ini dibina. Masya' Allah, terasa betapa besarnya cinta Allah terhadap hambaNya.
Pengertian Ramadan kali ini sangat terasa kelainannya bagi hamba Allah ini. Semoga ianya menjadi titik tolak perubahan ke arah kebaikan inshaAllah. Aku bersyukur sangat dikurniakan seorang ibu yang cukup memahami. Dia seorang wanita yang diuji bertubi-tubi..hingga saat ini aku belum nampak pengakhiran kepada semua yang berlaku terhadapnya..Dia seorang wanita yang kuat, berani menongkah arus walau badai menghempas kuat, masih mampu tersenyum saat dilemparkan kata-kata fitnah yang membabi buta. Dia seorang ibu yang sentiasa bersabar dengan kerenah anak-anak terutamanya kerenah aku. Tidak pernah walau sekali dia meninggalkan anaknya ini. Aku akui sekuat manapun hamba Allah itu pastinya sedikit sebanyak hatinya terusik,diselubungi derita dan ketakutan..apatah lagi dengan segala tohmahan yang dihamburkan..Ya Allah aku cuma berharap agar dirinya sempat mengenal apa itu sebuah kebahagiaan.
Sahabat yang selalu disisi,yang selalu meminjamkan telinga dan secebis kekuatan buat insan lemah ini. Aku bukannya menagih simpati mahupun perhatian cuma aku perlukan kekuatan. Mereka amat berharga bagi aku. Dengan adanya mereka sudah cukup bagi aku. Sekurang-kurangnya aku masih ada insan-insan yang aku mampu sandarkan kepercayaan.
Terima kasih Ya Allah... Moga aku terus istiqomah dalam menjalani satu lagi Ramadhan yang bermakna dalam hidup aku... Dan, untuk sekelian kalinya dalam hidup aku, aku rasa satu kesayuan dan sebak bila aku mengenangkan Ramadhan akan berlalu pergi. Allah...aku serahkan segalanya pada Mu..........
0 comments:
Post a Comment